Isu pemain naturalisasi Malaysia sering kedengaran apabila bermulanya sesuatu kejohanan bolasepak tanahair, di samping mutakhir ini pasukan Malaysia berada di ranking yang kurang memuaskan peminat bola tanahair iaitu di tangga 170.
Artikel ini cuba untuk membuka mata peminat-peminat bolasepak dengan perkembangan pemain-pemain luar yang layak untuk beraksi menyarung jersi Harimau Malaya dengan kaedah naturalisasi ini.
Sam Somerville telah diberi peluang oleh pasukan tersohor selatan tanahair, JDT untuk menjalani ujian bersama kelab tersebut.
Sam bermain di posisi penjaga gawang gol berkelahiran Inggeris yang mewakili kelab Slough Town dalam Liga peringkat ke-7 di England, 'Southern Football League Premier Division'.
Bersusur galur dari darah neneknya yang berasal dari negeri Kedah, beliau ada menyatakan hasratnya menyarung jersi skuad Malaysia suatu hari nanti jika diberi peluang.
Setakat artikel ini ditulis, hanya 3 orang pemain yang mendapat peluang menyarung jersi Harimau Malaya melalui kaedah naturalisasi iaitu Brendan gan, Junior Eldstal dan Matthew Davies.
Sebenarnya ramai pemain luar yang mempunyai asal-usul susur galur berdarah peranakan di Malaysia atau 'Malaysian Roots' yang berpotensi untuk mewakili skuad Malaysia melalui kaedah naturalisasi oleh FAM ini, di samping mereka jua berminat mewakili Malaysia!
Melalui jangkaan yang disusun rapi ini, sebenarnya agak menarik untuk menyenaraikan ke dalam barisan Malaysia XI jika mereka bermain untuk jersi Harimau Malaya ini, kecuali seorang pemain yang sudah layak beraksi untuk negara Scotland, Shaun Maloney.
Beberapa nama yang disenaraikan ini ada yang pernah mewakili Malaysia dan juga ada yang sedang mengikuti siri ujian serta mewakili dengan kelab seperti JDT, Sarawak dan Pahang iaitu Sam Sommerville, Ben King dan Matthew Davies.
Penjaga Gol : Syed Adney Syed Hussin
Penjaga gol ATM ini merupakan anak kelahiran di Liverpool, England dan memulakan karier bola sepak di Malaysia. Beliau pernah mewakili Malaysia sejak tahun 2007 lagi.
Pertahanan Kanan : Dion Cools
Pemain yang mempunyai reputasi tinggi ini bermain di peringkat tertinggi liga di Eropah dengan mewakili skuad Club Brugge yang berpengkalan di negara Belgium dan pernah mewakili skuad Belgium bawah-19 tahun. Dilahirkan di Kuching, Sarawak tetapi berpindah ke negara asal ayahnya di Belgium, ada ura-ura yang menyatakan beliau sedang menunggu kata putus dari FAM mengenai tawaran menyarung jersi Malaysia.
Pertahanan Tengah : Junior Eldstal
Pemain campuran dari sebelah bapanya yang berasal dari negara Sweden ini yang mewakili kelab JDT sudahpun menempa namanya dalam skuad Harimau Malaya dan beraksi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 untuk skuad Malaysia.
Pertahanan Tengah : Curran Ferns
Pemain Brisbane City di Liga Australia ini merupakan saudara kepada mendiang karpal Singh dan pernah mendapat ujian percubaan di kelab JDT tetapi dilaporkan terdapat kecederaan ketika itu.
Pertahanan Kiri : Daniel Ting
Selepas menghabiskan masa bermain di England, pemain ini mula berhijrah mencari pengalaman baharu dengan menjalani percubaan dengan skuad Sabah dan Sarawak, di negeri kelahiran bapanya.
Sayap Kanan : Wan Kuzain Wan Kamal
Wan Kuzain dikenali melalui aksi lincahnya yang ditunjukkan dalam video Youtube dan viral di Malaysia. Memulakan karier dari US Soccer Academy, beliau telah mendapat siri ujian di negara Belanda dengan kelab tersohor di Eropah, Feyenoord dan seterusnya mendapat panggilan dari negara Amerika Syarikat bagi mewakili skuad USA bawah-17 tahun.
Tengah : Brendan Gan
Brendan telahpun sepenuhnya mendapat kerakyatan Malaysia dan mewakili kelab Kelantan FA menerusi senarai pemain tempatan sejak 2014. Brendan belum lagi diberi peluang menyarung jersi skuad senior Malaysia namun pernah bermain untuk skuad bawah 23 tahun Malaysia pada edisi Piala Asia lalu.
Tengah : Tadashi Takeda
Pemain campuran dari negara matahari terbit, Jepun ini beraksi dalam Liga Division 2 di Jepun mewakili kelab Fagiano Okayama dan masih lagi tidak dipanggil mewakili Jepun dan juga Malaysia.
Sayap Kiri : Tam Sheang Tsung
Pemain berbangsa Cina berkelahiran Jepun dan kedua-dua ibu bapanya warganegara Malaysia, Tam pernah dipanggil menjalani ujian bersama skuad Harimau Muda A di bawah kendalian Dato' Ong Kim Swee. Selepas mencipta nama dalam liga di negara China bersama kelab Shanghai Shenhua, seterusnya ke negara Jepun dengan kelab Avispa Fukuoka, beliau sekarang mewakili kelab Liga Division 2 di Jepun dengan kelab Kataller Toyama.
Penyerang Kedua : Sean Gan Giannelli
Sean merupakan produk pemain bolasepak dari Sekolah Sukan Bukit Jalil yang mempunyai darah campuran Itali dan pernah menyertai pasukan muda kelab Itali, athletico Arezzo ketika berusia 15 tahun. Kini beliau diambil alih oleh pasukan JDT dan diserapkan ke pasukan JDT IV.
Penyerang Utama : Darren Lok
Penyerang kelahiran England ini sedang mewakili kelab Eastbourne Borough yang beraksi dalam Liga Conference South, liga peringkat ke-6 di England dan telah menyatakan hasrat untuk cuba bermain mewakili skuad Harimau Malaya jika diberi peluang terbuka.
VIDEO: Malaysian Wonder Kid (Wan Kuzain Wan Kamal)
SUMBER: fourfourtwo
No comments:
Post a Comment